BULAN 4K:KESELAMATANKESIHATANKEBERSIHANKESUKARELAWANAN& SMARTGREEN

PRAKATA
PRAKATA
Program 4K merupakan inisiatif yang menggabungkan sejumlah program dengan tujuan menerapkan budaya kerja berpasukan di Politeknik Sultan Azlan Shah. Program ini bertujuan untuk mengintegrasikan amalan keceriaan, kebersihan, keselamatan, dan kesihatan di seluruh institusi, berfokus kepada peningkatan kualiti kehidupan di kampus.
Tujuan utama program ini adalah mencipta mekanisme yang dapat memperbaiki aspek 4K serta memupuk semangat kerjasama di antara warga Politeknik Sultan Azlan Shah dan pihak luar. Hal ini bertujuan membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai keceriaan, kebersihan, keselamatan, dan kesihatan.
Beberapa program telah dirancang sebagai pengisian insiatif berkenaan, termasuk "Pemeriksaan Kesihatan Buat Warga PSAS", "Kempen Sehari Tanpa Polisterin dan Plastik", "Basic Bodyweight Training For Fitness and Health", "Lestarikan PSAS: Indahkan Lanskap", dan "Zero E-Waste". Keseluruhan program 4K menggambarkan integrasi kebersihan, kesihatan, keselamatan, dan keceriaan sebagai satu entiti yang utuh.
Program 4K merupakan platform penting untuk penyebaran informasi terkini mengenai kesihatan, khususnya berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan oleh pihak politeknik khusus untuk warga kerja dan pelajar. Program ini juga adalah dorongan untuk amalan gaya hidup sihat yang sering diabaikan oleh masyarakat yang kurang mempedulikan aspek kesihatan.
Warga PSAS dianggap sebagai kumpulan sasaran yang sangat relevan, mengambilkira peranan mereka sebagai tonggak institusi ini. Melalui penyertaan dalam program ini, diharapkan warga kerja dan pelajar akan lebih faham tentang kepentingan belajar dalam ekosistem institusi yang bersih dan ceria, serta memahami kepentingan gaya hidup sihat dan aspek keselamatan yang seharusnya menjadi prioriti dalam kehidupan sehari-hari. Program ini menjadi wahana pembentukan budaya kerja berteraskan 4K sejak awal lagi.
KATA ALUAN PENGARAH
Pelancaran Program Bulan 4k yang melibatkan keselamatan, kesihatan, kebersihan, kesukarelawanan & Smart Green PSAS 2023 merupakan suatu penganjuran yang julung kali diadakan bagi memartabatkan kehidupan yang seimbang dalam aspek fizikal dan mental. Hasil daripada gabungan elemen-elemen ini mampu menjadi suatu inisiatif yang baik dalam melestarikan matlamat pembangunan mampan (SDGs) yang telah diinspirasikan oleh pihak kerajaan.
Agenda keselamatan, kesihatan dan kebersihan merupakan tunjang di dalam kecemerlangan dan kelangsungan sesebuah organisasi pekerjaan. Keseimbangan dan kualiti 4K yang optimis menjadikan warga organisasi akan sentiasa komited dan selesa dengan bidang tugas masing-masing. Selain itu, semangat kesukarelawan yang dititip dan tersemai dalam setiap diri warga kerja mampu melahirkan warga PSAS yang sentiasa prihatin, berkerjasama dan cakna dengan isu berkaitan masyarakat sekeliling.
Peningkatan dan perubahan yang mendadak tentang alam sekitar yang semakin melebar telah menuntut kepada suatu agenda global yang lestari bagi memperkukuhkan pelaksanaan konsep sustainable development atau pembangunan lestari. Kesedaran tentang betapa besarnya impak semua perubahan persekitaran global ini, terhadap kehidupan manusia pada masa kini dan hadapan perlulah diberi perhatian yang wajar. Justeru itu, penganjuran program seperti ini secara tidak langsung telah berjaya meningkatkan kualiti kehidupan manusia dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap organisasi disamping memartabatkan kualiti alam sekitar yang lebih baik melalui pemeliharaan dan pengurusan yang pragmatik demi kelangsungan warisan manusia yang akan datang. Ianya wajar diteruskan oleh warga PSAS dari masa ke semasa demi melahirkan manusia yang cemerlang di dalam dunia pekerjaan dan masyarakat yang bertanggungjawab kepada alam sekitar.
Akhir sekali, sekalung ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang terlibat dalam menzahirkan program ini. Sesungguhnya kesihatan mental dan fizikal yang optimum mampu melahirkan warga kerja yang cekap dan berkualiti disamping menjadi penduduk bumi yang sentiasa dahagakan alam sekitar yang terjaga daripada kemerosotan secara drastik.
Ts. Mohd Zulkefli Bin Ibrahim
Pengarah
Politeknik Sultan Azlan Shah