Diploma Akauntansi (DAT)
Diploma Akauntansi digubal khususuntuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran serta pengalaman melalui pendidikan bersepadu dalam bidang-bidang seperti perakaunan, kewangan, pengauditan, percukaian, perakaunan kos dan juga pengetahuan dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat, keusahawanan dan pembangunan kendiri. Pelajar bukan sahaja diajar secara teori asas kewangan dan perakaunan, malah mereka juga diberi pendedahan kepada pengalaman sebenar melalui program latihan industri. Matlamat program ini bukan sahaja melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran mengurus dan merekod kewangan tetapi juga graduan yang berfikiran usahawan. Setiap kursus yang dibina di dalam program ini adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh badan-badan profesional perakaunan di Malaysia seperti Institut Akauntan Malaysia (MIA), IAS, MFRS, MQA dan IFAC. Program ini diterajui oleh pensyarah yang bukan sahaja berpengalaman dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam bidang kewangan dan pengurusan.Selain bekerja dalam bidang perakaunan, graduan program ini berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan badan professional seperti ACCA.
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )
Diploma Pemasaran (DPR)
Diploma Pemasaran melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas serta pemahaman teknikal yang kukuh dalam bidang pemasaran. Ia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pelajar dalam melaksanakan tugas pemasaran seperti menyedia dan menyelia campuran pemasaran, menganalisis kelakuan pengguna, mengkaji pasaran, mengolah dan meyampaikan idea dan strategi, mengaturacara dan pameran produk. Pelajar juga diberi pengetahuan asas dalam bidang perniagaan termasuk pengurusan, perakaunan, ekonomi, keusahawanan, pengiklanan, statistik, peruncitan, perundangan, pemasaran digital dan teknologi. Kemahiran penggajian seperti komunikasi, kepimpinan, pemikiran kreatif dan kritis serta keyakinan diri ditingkatkan melalui kursus Bahasa Inggeris dan aktiviti pelajar. Aspek-aspek insaniah ditekankan melalui kursus agama dan moral bagi melahirkan insan yang seimbang.
Kajian kes dan projek berkumpulan memfokuskan kepada kemahiran analisis dan menilai pasaran, penentuan pasaran, membuat keputusan serta menyedia pelan pemasaran bersepadu. Latihan industry selama enam bulan meningkatkan kemahiran dan pemahaman pelajar tentang pemasaran dalam perniagaan selain melengkapkan persediaan mereka ke alam pekerjaan.
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )
Diploma Pengurusan Peruncitan (DRM)
Program Diploma Pengurusan Peruncitan akan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran TVET yang diperlukan dalam industri peruncitan. Program ini akan mendedahkan pelajar kepada pengetahuan dan kemahiran Asas Peruncitan, Matematik dalam Peruncitan, Perkhidmatan Pelanggan, Promosi Runcit, Operasi Runcit, Pembelian Runcit, Peragaan Barangan dan Peruncitan Global. Selain itu, pelajar akan didedahkankepada bidang-bidang pengajian yang relevan termasuk Perakaunan, Ekonomi, Undang-Undang Komersil, Statistik dan Komputer bagi menjamin kemahiran yang seimbang dan mampu melaksanakan tugas dengan berkesan dalam industri. Program ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam jangkamasa enam semester termasuk latihan industri.Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama enam bulan pada semester akhir bagi memperolehi pengalaman dan pendedahan dalam bidang peruncitan dan alam pekerjaan sebenar.
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )
Diploma Pengajian Perniagaan (DPM)
Diploma Pengajian Perniagaan bertujuan untuk meningkatkan dan memperkayakan pengetahuan pelajar merentas pelbagai bidang perniagaan serta menyediakan pelajar untuk hadapi cabaran kerjaya dalam perniagaan kontemporari. Bidang pengajian yang dipelajari adalah dinamik dan pelajar akan memperolehi pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran, pengurusan sumber manusia, perakaunan, kewangan, pemasaran, insurans, perbankan dan pelaburan, pengurusan operasi serta keusahawanan. Rangka kerja kursus yang fleksibel membolehkan pelajar memilih laluan yang sesuai dengan minat mereka, sama ada untuk memasuki pasaran kerja atau meneruskan pengajian mereka dalam pelbagai program perniagaan yang selaras dengan perkembangan perniagaan semasa.
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )