DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK (DET)
Diploma Kejuruteraan Elektrik direka bentuk untuk meliputi disiplin ilmu kejuruteraan elektrik semasa, dengan pengkhususan tambahan elektronik yang digunakan dalam bidang kejuruteraan elektrik. Asas elektronik yang meliputi bidang kuasa, kawalan, instrumentasi dan komputer memberikan fleksibiliti kepada para graduan, sambil menekankan bidang pengkhususan.
Graduan ini dijangka akan berkhidmat dalam bidang kejuruteraan elektrik. Penggunaan peralatan elektrik dan elektronik hari ini memerlukan juruteknik yang mahir dan terlatih yang diperlukan untuk cabaran baharu ini. Diploma Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia melengkapkan graduannya dengan kemahiran teknikal yang diiktiraf.
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )
DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMUNIKASI) (DEP)
Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) merangkumi disiplin bidang kejuruteraan elektronik yang luas, dengan pengkhususan dalam teknologi komunikasi. Program ini direka bentuk dengan asas kejuruteraan elektrik dan elektronik yang merangkumi matematik, asas elektrik dan elektronik, asas komputer dan pengaturcaraan, asas sistem komunikasi, peranti semikonduktor, pemasangan pendawaian dan reka bentuk terbantu komputer yang dapat menghasilkan graduan yang berketerampilan dan serba boleh, disamping memberi penekanan terhadap bidang pengkhususan di akhir program. Kursus-kursus pengkhususan yang terlibat dalam program ini adalah telefoni, sistem komunikasi gentian optik, komunikasi data dan rangkaian, komunikasi tanpa wayar dan peranti gelombang mikro.
Selain daripada penerapan pengetahuan dan kemahiran teknikal, program ini juga memberi penekanan kepada pembangunan potensi individu pelajar secara bersepadu dan holistik melalui kursus-kursus seperti sains, teknologi dan kejuruteraan dalam Islam, Nilai Masyarakat Malaysia, Pengajian Malaysia, ko-kurikulum, pekerjaan, keselamatan dan kesihatan dan keusahawanan.
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )
DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMPUTER) (DTK)
Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) ini telah direkabentuk untuk menghasilkan pelajar yang berpengetahuan luas dalam bidang kejuruteraan elektronik dengan pengkhususan dalam bidang elektronik berasaskan teknologi komputer. Pelajar juga didedahkan dengan pengetahuan asas elektronik yang meluas dalam bidang kuasa, telekomunikasi, kawalan, instrumentasi dan juga komputer yang dapat menghasilkan graduan yang berkebolehan dan masih menitikberatkan area pengkhususan mereka.
Para graduan ini bakal mempunyai peluang kerjaya yang cerah dalam bidang teknologi komputer. Penggunaan alatan elektronik dalam peralatan berasaskan komputer pada masa kini sangat memerlukan juruteknik berkemahiran dan terlatih. Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) daripada Politeknik membekalkan graduan dengan keperluan kemahiran teknikal yang diperakui dan diiktiraf dalam bidang Kejuruteraan Elektronik (Komputer).
Tempoh Pengajian – 6 semester ( 3 Tahun )