
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Sultan Azlan Shah terus berkembang sebagai sebuah jabatan yang komited dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti, kompeten dan berdaya saing.
Sejak penubuhannya pada 1 Mac 2002, JKM telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan transformasi. Bermula dengan operasi di Sekolah Menengah Teknik Slim River, JKM kemudiannya berpindah ke bangunan sendiri pada 1 April 2003 yang dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur moden bagi menyokong proses pengajaran, pembelajaran serta latihan amali yang berkesan.
Pada masa ini, JKM menawarkan empat program diploma iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM), Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) (DTP), Diploma Kejuruteraan Mekatronik (DEM) dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) (DAD). Selain itu, JKM turut menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Automotif) yang mula beroperasi pada September 2014, sekali gus memperkukuhkan peranan jabatan dalam menyediakan laluan pendidikan yang lebih tinggi kepada para pelajar.
Berbekalkan tenaga akademik yang berpengalaman serta kemudahan pembelajaran yang lengkap, JKM sentiasa berusaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan relevan dengan keperluan industri semasa. Kerjasama erat bersama pihak industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan lain turut diperkasakan bagi memperluas peluang penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi serta pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Dalam usaha memperkukuhkan kecemerlangan akademik dan teknologi, Polytechnic Centre of Technology Automotive and Manufacturing (POLCAM) memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pembangunan kepakaran dalam bidang pembuatan termaju, reka bentuk automotif, inovasi dan penyelidikan. Melalui pelbagai inisiatif, kolaborasi industri, latihan profesional dan projek berimpak tinggi, POLCAM membantu JKM merealisasikan visi dan misi jabatan dalam melahirkan graduan yang kompeten, inovatif serta memenuhi kehendak industri masa kini dan masa hadapan.
Sejajar dengan aspirasi pendidikan TVET negara, JKM komited untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan, berintegriti, kreatif dan inovatif. Pelajar juga digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum, kesukarelawanan dan program pembangunan sahsiah bagi membentuk individu yang seimbang dari segi akademik, kemahiran dan nilai kepimpinan.
Dalam era pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0, JKM akan terus memperkukuh kecemerlangan akademik dan latihan teknikal melalui pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik, fleksibel dan berteraskan teknologi. Saya yakin dengan komitmen seluruh warga jabatan serta sokongan pihak industri dan komuniti, JKM akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada kemajuan industri dan pembangunan negara.
Semoga segala usaha yang dilaksanakan akan terus diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
MOHD AZHARI BIN ABDULLAH
Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Politeknik Sultan Azlan Shah