LATIHAN INDUSTRI PELAJAR
Latihan Industri adalah satu kursus wajib yang perlu dilaksanakan oleh pelajar di universiti, politeknik, kolej komuniti ataupun mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).Di dalam Bahasa Inggeris, latihan industri dikenali sebagai ‘Industrial Training’ ataupun umum mengetahuinya sebagai ‘Attachment’. Kebiasaannya pelajar perlu melalui latihan industri selama lebih kurang enam bulan atau satu semester bergantung kepada IPT tersebut. Latihan Industri adalah merupakan satu komponen utama dalam kurikulum pembelajaran di politeknik. Pelajar disyaratkan lulus latihan industri sebelum ianya diperaku untuk dianugerahkan Diploma Politeknik KPT. Pelajar akan ditempatkan di jabatan atau firma swasta selama satu semester (20 minggu) bagi mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan yang sebenar serta berbeza dari suasana di politeknik. Latihan industri menyediakan ruang besar kepada pelajar di politeknik untuk merebut sebanyak mungkin peluang dalam memantapkan lagi segala ilmu dan teknologi yang mereka pelajari.
Semasa di politeknik pelajar berpeluang menimba ilmu pengetahuan menerusi pembelajaran di dalam kuliah bersama pensyarah. Apabila pelajar menjalani latihan industri, pihak UPLI akan membuat lawatan penyeliaan yang akan dilakukan oleh Pegawai Penyelia LI (Pensyarah Mentor) untuk meninjau perkembangan dan kemajuan pelajar disamping memberi peluang ke syarikat dan politeknik untuk membincang pelbagai isu berkaitan dengan latihan lndustri pelajar.
Para pelajar juga dikehendaki menyediakan laporan harian “Reflective Journal” dan "Reflective Mingguan". Setelah tamat latihan, mereka dikehendaki menulis laporan lengkap (report on industrial training) mengenai latihan tersebut. Secara am, objektif latihan industri adalah untuk membolehkan pelajar;
1. Membina personaliti individu yang boleh bekerja secara berpasukan, amanah, berkeyakinan dan bertanggungjawab.
2. Boleh berkomunikasi dengan berkesan.
3. Mengamalkan etika dan peraturan kerja yang baik.
4. Menguasai kemahiran bidang kursus dengan mengaitkan teori yang telah dipelajari di politeknik.
5. Menghasilkan laporan latihan industri “Report on Industrial Training”.
PENEMPATAN LATIHAN PELAJAR
Tempat latihan yang sesuai adalah bergantung pada beberapa faktor seperti:
1. Kesediaan organisasi latihan menerima pelajar
2. Kesesuaian program pelajar dengan bidang tugas di organisasi
3. Kekosongan tempat latihan
4. Permintaan dari organisasi latihan tertentu dan didapati sesuai